Sunday, July 15, 2012

Anak Kucing Yang Baik Hati


ANAK KUCING YANG BAIK HATI
Pada hari jadi Lulu, ibunya menghadiahkan sepasang sarung tangan kepadanya. Lulu berasa sungguh gembira kerana mendapat sarung tangan tersebut. Beberapa hari kemudian, Lulu membasuh sarung tangannya kerana sudah kotor. Selepas itu, dia menjemur sarung tangannya di atas batu sebelum keluar bermain.
            Walau bagaimanapun, sarung tangannya hilang selepas dia pulang ke rumah. Eh, siapakah yang telah mengambil sarung tanganku?” tanya Lulu dengan sedih. Lulu mencari di sekitar kawasan rumahnya tetapi tidak berjumpa dengan sarung tangan yang disayanginya itu.
            Jangan bersedih, cuba ingat di mana kamu telah letakkan sarung tangan itu?” tanya ibunya.
            Saya letakkannya di sini,” kata Lulu sambil menunjuk ke arah batu di hadapan rumah mereka.
            Siapakah yang telah mengambil sarung tanganku itu?” fikir Lulu. Pada ketika itu Lulu terdengar suara burung sedang menyanyi dari atas pokok.
            Lulu mendongak ke arah burung-burung yang sedang menyanyi itu. “Oh, mungkin mereka tahu siapa yang telah mengambil sarung tangan itu,” kata Lulu.
            Lulu pun mengambil keputusan untuk memanjat pokok itu. “Pokok ini sungguh tinggi. Aku hendaklah memanjatnya dengan berhati-hati,” fikir Lulu.
            Lulu cuba memanjat pokok yang tinggi itu. Akhirnya dia berjaya memanjat pokok itu. “Meow….! Dia memanggil burung-burung itu.
            Bolehkah kamu menolong saya?” tanya Lulu. Sarung tangan saya sudah hilang,” kata Lulu lagi. Tiba-tiba dia ternampak sepasang sarung tangan di dalam sarang burung itu.
             Maafkan kami wahai Lulu,” kata burung-burung itu. Kami terpaksa mengambil sarung tangan kamu kerana pada waktu malam cuaca sungguh sejuk,” jelas burung-burung itu.
            Lulu berasa sungguh kasihan kepada burung-burung tersebut lalu menghadiahkan sarung tangan itu kepada mereka. Ibu Lulu berasa sungguh bangga kerana anaknya berhati mulia. Ibu Lulu memberikan anaknya sepasang sarung tangan yang baru.
            Lulu dan burung-burung itu menjadi kawan baik. Mereka selalu bermain bersama-sama. Terima kasih kerana memberikan sarung tangan itu kepada kami,” ucap burung kepada Lulu.

No comments:

Post a Comment