Congkak
Congkak
sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang
atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji
guli dan lain-lain. Di utara semenanjung ianya dipanggil juga Jongkok.
Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.
Papan Congkak
Peralatan
yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok
kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk
kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir
dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam
ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah,
lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor
terkena tanah.
Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak. Cara Bermain
Dua
orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan
kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan
memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari
kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.
Permainan
tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan
oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan
kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.
Permainan
ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari
kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain
tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh
pemain sahaja.
Salah
seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah
sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi
setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang
garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang.
Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.
Sebelum
permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua
ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan
pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya
dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.
Gelanggang Permainan
Kawasan
permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan
bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang
perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan
jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter.
Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain
bagi setiap pasukan.
Sebagai
penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas
padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi
kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.
Cara Bermain
Sejurus
sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan
ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan
sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu
atau beramai-ramai.
Setiap
pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan
kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan
bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan
itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang
bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.
Peraturan Permainan
Kesemua
pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka
dicuit oleh pemain pasukan bertahan.
Pemain
pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan
gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan
pasukan.
Pasukan
penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan
gelanggang.
Pasukan
penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi
kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan
kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.
Mana-mana
pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan
tersebut.
Teng-teng
Permainan
ini juga dikenali sebagai Ketinting. Kanak-kanak perempuan sering memainkan
permainan ini daripada kanak-kanak lelaki. Ini mungkin disebabkan permainan
yang tidak begitu lasak serta memerlukan tenaga yang banyak dan ianya
memerlukan pemerhatian di gelanggang yang agak kecil sahaja.
Di
kampong-kampong gelanggang di buat dengan mengoreskan garisan di atas tanah
sahaja, tetapi lain keadaannya pula dengan kanak-kanak yang berada di kawasan
taman perumahan atau dikawasan pekan yang tiada halaman bertanah. Mereka akan
menggunakan kapur tulis tepung atau apa sahaja yang dapat dilukiskan di atas
jalan bertar.
Teng
teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat
orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi
setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu
gelanggang, ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk
berteng teng.
Gelanggang & Gundu
Gelanggang
teng teng hanya dilukiskan petak-petak di atas tanah sahaja. Terdapat
sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang. Permainan dijalankan
mengikut urutan seperti rajah di bawah.
Selain
daripada gelanggang, gundu adalah juga sebagai perkakasan penting yang
dimainkan bersama. Gundu atau buah ialah objek berbentuk leper sebesar
separuh tapak tangan yang diperbuat daripada apa sahaja, seperti pecahan
pinggan, kepingan besi atau batu yang leper.
Gundu
ini adalah sebagai tanda bagi para pemain untuk mengerakkan kedudukan mereka
di petak-petak gelangang.
Cara Bermain
Sebelum
permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus
memulakan permainan terlebih dahulu. Lai lai li tam plong adalah
kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
Bagi
memulakan permainan, pemain hendaklah mencampakkan gundu ke dalam petak
pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain telah
berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara mencampakkan
gundu adalah sama. Jika gundu tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau
terkeluar ia di anggap mati dan hilang giliran. Pemain lain mengambil giliran
pula.
Pemain
dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di
petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja
memulakan permainan dimana gundu berada di petak pertama, maka pemain
hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu
juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak garisan ia
dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.
Setelah
pemain melompat kembali ke garisan permulaan, setibanya di petak kedua dan
keempat, pemain hendaklah memijak dengan kaki kanan di petak kedua dan kaki
kiri di petak keempat. Setelah itu pemain dikehendaki melompat ke petak
ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu hendaklah dikutip
di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke garisan penamat.
Setiap
pemain tidak dibenarkan memijak petak dimana gundu berada di dalamnya, samada
kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika ini berlaku ia dikira mati, giliran
pemain seterusnya mengambil alih permainan.
Membina Rumah
Sebelum
pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu.
Gundu hendaklah diletakkan di atas kepala dan melompat kedalam setiap petak
dengan sebelah kaki kecuali petak kesembilan. Pemain hendaklah melepasi petak
ketujuh tanpa melompat kedalamnya dan terus ke petak lima. Sambil berdiri
menghadap di garisan permulaan petak ketujuh, pemain dikehendaki menundukkan
kepala menjatuhkan gundu. Gundu hendaklah disambut sebelum jatuh ke tanah,
jika pemain tidak dapat menyambutnya ia dikira mati dan acara timbang
dilakukan semula setelah giliranya sampai kemudian. Pemain terus melompat ke
petak pertama dan keluar dari garisan permulaan.
Untuk
mendapatkan rumah, pemain dengan berdiri membelakangkan kesemua petak di
garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan
disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena gaisan atau
terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak dengan kedua
belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian.
Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijak dengan kedua
belah kakinya ia dikira mati.
Permainan guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.
Gelanggang
Satu
bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garispusat 1m. Ditengah-tengah
bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm. lebar dan sedalam
7sm. dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ketanah. Lubang tersebut
dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m.
daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula
tempat permainan.
Cara Bermain
Untuk
memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke
dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir
adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti
oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya. Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan. Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan. Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran. Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan. Gasing Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.
Jenis-jenis Gasing
Jenis
gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau
leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing
Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.Membuat Gasing Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing. Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik. Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja. Cara Bermain Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing. Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan. Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut. Pertandingan Gasing Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan. Gasing Uri Dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga diperbuat danipada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras. Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam. Gasing Pangkah Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing. Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.
Jala Itik
Cara Bermain
Dua
orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama
samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini
akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing
yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya.
Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan 'Jan-jan jala Jala itik jala ayam.
Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik Dayang singgah. Makan
sirih mulut merah." Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan,
ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.
Menentukan Pemain
Setelah
itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu
untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan
sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu
nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang
mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada
ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi,
sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.
Pertukaran Pemain
Jika ada
kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu
lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah
ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah
persetujuan di antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat
pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana
mempunyai ahli yang paling ramai.
Menentukan Pemenang
Sebaliknya
jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat
bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan
berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama
lain. Pemain-pemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil
memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama
lain supaya melangkah garisan itu, dengan ahli lain membantu, seperti tarik
tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan
melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta
sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk mengimbangi pasukannya dengan
pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat
demikian, maka dia dianggap kalah.
Konda-kondi
Konda-kondi
juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan
pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan
mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini
memerlukan kawasan lapang.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang. Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.
Permainan Pertama
Pemain pertama
memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu
panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara,
setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu,
ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh
pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat
demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati.
Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan
lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek
masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.
Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata. Permainan Kedua Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi. Permainan Ketiga
Seterusnya,
pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain
menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek
itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan
melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek
itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu
pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu
panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai
mata tertinggi memenangi perlawanan ini.
Sepak Raga
Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis. Cara Bermain Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan. Menimang Bola Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang. Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.
Wau
Teraju
tiga sememangnya sinonim dengan wau, juga dikenali sebagai layang-layang di
negeri-negeri sebelah pantai barat semenanjung. Sebagai permainan masa lapang
bagi kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Sejak zaman-berzaman sekitar
kurun kelima belas, wau telah dimainkan oleh orang Melayu. Mereka telah
mempercayai ada kaitan di antara semangat angin dan langit.
Jenis Wau
Berbagai
jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau
bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah,
wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan.
Rekacorak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi
kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu
sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain
dijadikan untuk permainan ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan
dinding.
Membuat Wau
Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka
yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan
lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat,
lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu
bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan
ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga. Cara Bermain Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni. Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
|
|
Blog ini dibina bagi memenuhi tugasan EDU3109 Guru dan Cabaran Semasa. Mudah-mudahan Blog ini memberikan manfaat kepada pembacanya.
Saturday, July 14, 2012
Permainan Tradisional
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment