Monday, July 16, 2012

Nazam


Nazam "Mengisi Cuti"

Allahumssali-wasallim-wabarik-alaih...

Allah Allah Azawajal Tuhan kami,
Kami mohon ampun akan dosa kami.

Semua sekolah sedang bercuti masa ini,
Dua minggu tidak lama empat belas hari.

Anak-anak memang suka apabila cuti,
Dapat peluang pergi sana pergi sini.

Paling penting kerja sekolah mesti buat,
Tugas murid bukan hanya asyik berehat.

Kerja ayah kerja ibu tolonglah bantu,
Ringan tulang kita kena bahu-membahu.

Susunlah waktu dengan rapi baca buku,
Buku terpilih bahasanya terkawal mutu.

Bersolat wajib jangan pula turut bercuti,
Suruhan Tuhan tak boleh tidak dipatuhi.

Berikan juga masa kita kepada kawan,
Perlu dipilih bukan kawan sembarangan.

Masa bermain tunjuk juga segala bakat,
Kawan gembira melihat kita begitu hebat.

Masa dahulu waktu malam mengaji Quran,
Masa kini sudah berubah mengikut zaman.

Ada juga ustaz dipanggil datang ke rumah,
Mengajar agama segala ilmu kalam Allah.

Pejam celik pejam celik berakhirlah cuti,
Cepatnya masa macam lihat orang berlari.

Adik abang serta kakak rasa bersyukur,
Kerja sekolah siap semua dengan teratur.

Pakaian juga sudah dibasuh serta digosok,
Menunggu waktu untuk dipakai pagi esok.

Demikian kisah masa cuti cuma selingkar,
Mengenangkan hal hidup kita serba sukar.

Allah Allah Azawajal Tuhan kami,
Kami mohon ampun akan dosa kami.

Allahumssali-wasallim-wabarik-alaih...

Mohamad Musip
6 Jun 2010

* Format nazam memang demikian rupanya, iaitu dimulai dan diakhiri dengan selawat
ke atas Nabi. Mesej nazam condong kepada peringatan atau nasihat tentang kehidupan
yang bersendikan syariat. Model penulisan nazam ini saya sandarkan pada "Nazam Sifat
20" koleksi ibu saya sendiri.




No comments:

Post a Comment