Saturday, July 14, 2012

Sang Kerbau, Sang Buaya dan Sang Kancil


Pada suatu hari ada seekor kerbau jantan hendak minum air. Kerbau itu berjalan melalui satu lorong menuju ke sungai. Sungai itu agak luas. Airnya cetek saja, jenih dan sejuk. Kerbau itu mengharung air. Air itu hanya setakat lutut sahaja. Kerbau itu menuju ke tengah-tengah sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi jernih. Ketika menghirup air, kerbau terdengar sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke arah suara itu. Kerbau ternampak air terhambur naik di tebing sungai.

"Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!" tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai dekat rimbunan buluh. Kerbau cuba memerhati dan meneliti suara itu. Kerbau ternampak sesuatu berbalam-balam dari jauh seperti batang kelapa ditindih sebatang kayu. Suara meminta tolong terus bergema. Merayu-rayu bunyinya.

Kerbau mendekati suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok kayu, betul-betul di tengah belakangnya.Oh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Tolong aku, kerbau! Aku ditimpa oleh pokok yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat sungguh batang kayu ini," jawab buaya.

Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba mengangkat kayu itu dengan tanduknya. Apabila batang kayu terangkat, buaya cepat-cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau menghumban kayu itu ke bawah, buaya segera menangkapnya.

"Eh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau apabila dirasai kakinya digigit buaya. "Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki aku", jelas buaya sambil menggigit lebih kuat lagi. "Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia ini. Tidak tahu membalas budi. Orang berbuat baik, kau balas jahat," kata kerbau.

"Sepatutnya buat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat", sambung kerbau lagi. "Aku tidak peduli", jawab buaya. Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya menguatkan lagi gigitannya. Kerbau tidak mampu melepaskan diri kerana berada dalam air. Kalau buaya menariknya ke bawah tentulah ia akan lemas.

Kerbau merayu supaya buaya tidak membunuhnya. "Janganlah bunuh aku, buaya! Aku pun mahu hidup. Kau makanlah benda lain", kerbau merayu. Tetapi buaya tetap tidak peduli. "Aku boleh melepaskan kau tetapi dengan satu syarat," kata buaya. "Apakah syaratnya?" tanya kerbau. "Kita cuba dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa berbuat baik dibalas baik? Kita tanya apa-apa yang lalu di sini," ujar buaya. "Kalau jawapannya sama sebanyak tiga kali, aku akan bebaskan kau," ujar buaya lagi.

Kerbau bersetuju dengan syarat yang dicadangkan oleh buaya. Mereka bersama-sama menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau yang hanyut di dalam sungai itu. Tiba-tiba mereka ternampak sebuah saji yang buruk hanyut. Buaya pun bertanya pada saji.

"Saji, betulkah berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. "Tidak betul. Berbuat baik dibalas jahat," jawab saji. Saji menceritakan kisah hidupnya. "Di rumah, aku digunakan untuk menutup makanan. Nasi, lauk, kuih, dan apa-apa sahaja aku lindungi," jelas saji. "Pendek kata, aku banyak menolong dan berbakti kepada tuan aku. Kucing dan tikus tidak boleh mencuri lauk. Aku lindungi," cerita saji. "Tetapi aku amat sedih, apabila aku buruk dan koyak, tidak berdaya lagi menutup makanan, aku dibuang ke sungai," ujar saji. "Itulah sebabnya aku berkata berbuat baik dibalas jahat," saji menamatkan ceritanya dan terus hanyut.

"Macam mana kerbau? Betul atau tidak apa yang aku kata?" tanya buaya. Kerbau berdiam diri kerana berasa cemas dan sedih. Kerbau berdoa di dalam hati supaya Tuhan menolongnya. "Tuhan tentu akan menolong orang yang baik," kata kerbau dalam hatinya.

Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang kasut buruk pula hanyut di situ. Sebelah daripada kasut itu tenggelam kerana tapaknya tembus. Tetapi kasut itu bergantung kepada pasangannya dengan tali. Kedua-dua belah kasut itu bersama-sama hanyut. "Hah, itu satu lagi benda hanyut! Kita cuba tanya," kata buaya.

"Kasut, betul atau tidak berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. Kerbau berdebar-debar menunggu jawapan kasut. Kalau kasut bersetuju dengan kenyataan itu bererti ia akan selamat. Kalau kasut berkata tidak betul, habislah riwayatnya. "Tidak betul kerana berbuat baik dibalas jahat," jawab kasut.

Hancurlah harapan kerbau untuk hidup apabila mendengar kasut memberi jawapan itu. Kasut lalu bercerita. Pada suatu masa lalu, kasut amat disayangi oleh tuannya. Setiap hari kasut dibersihkan dan dikilatkan. Apabila malam, kasut itu disimpan di tempat selamat. Kasut itu juga hanya dipakai oleh tuannya apabila pergi ke bandar sahaja. Kalau tuannya pergi ke tempat berpasir atau berlumpur, kasut itu tidak dipakainya.

Tetapi apabila sudah buruk, kasut itu tidak disayangi lagi. Badannya tidak dikilatkan lagi. Kasut itu dibaling ke tepi tangga selepas digunakan. Apabila malam, kasut itu ditinggalkan di halaman rumah. Kasut itu dibiarkan berembun dan berhujan. Ketika itu juga, kasut itu menjadi tempat persembunyian katak puru untuk menangkap nyamuk. Apabila sudah terlalu buruk dan koyak, kasut itu dibuangkan ke dalam sungai. "Itulah sebabnya aku hanyut ke sini," kasut menamatkan ceritanya lalu pergi bersama-sama arus air.

"Sudah dua jawapan. Engkau kalah. Tetapi aku bagi satu peluang lagi," kata buaya. "Kalau datang yang ketiga, sama jawapannya, engkau akan menjadi habuanku," jelas buaya kepada kerbau.

Ketika kerbau dan buaya menanti kedatangan benda yang ketiga, tiba-tiba datang seekor kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke tebing tempat buaya dan kerbau. Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki kerbau. Kancil melihat air mata kerbau berlinang. Manakala buaya pula kelihatan bengis.

"Ada apa kerbau? Kenapa buaya gigit kaki engkau?" tanya kancil. "Mujurlah engkau datang, kancil! Kami sedang menunggu hakim yang ketiga untuk mengadili kami," kata buaya. "Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat," kata buaya.

"Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?" tanya kancil. Buaya lalu bercerita mengenai dirinya yang ditindih batang kayu. Kerbau datang menolong. Tetapi buaya tidak mahu membalas perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu patut menjadi rezekinya.

"Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok kejadian asalnya," kata kancil. "Mula-mula aku kena tindih batang pokok patah. Batang pokok itu jatuh menimpa belakang aku," jawab buaya.

"Boleh aku tengok macam mana pokok itu berada di atas belakang kau?" tanya Kancil. "Macam mana aku hendak tunjukkan, kerbau sudah alihkan batang kayu itu," jawab buaya.

"Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat asal, tempat engkau kena tindih," ujar kancil. Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya melepaskan kaki kerbau lalu duduk dekat batang pokok.

"Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah kayu itu berada di atas belakang buaya? Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang kayu itu?" kancil mengarah seperti hakim.

Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil. "Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat?" kancil mengarah buaya. Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang pokok itu tetapi tidak berdaya. "Cuba lagi, seperti engkau mula-mula kena tindih," kata kancil.

"Up! Up!" bunyi suara buaya cuba mengalih batang pokok. "Kuat lagi! Kuat lagi!" seru kancil.Buaya terus mencuba tetapi tidak berupaya melepaskan diri. Buaya cuba mengumpul kekuatan untuk mengangkat batang kayu itu, tetapi gagal. Ekornya sahaja membedal air tetapi batang kayu tetap itu tidak bergerak. Buaya sudah penat.

Kerbau pula menunggu arahan kancil. "Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil. "Selepas itu aku datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya terlepas, ia gigit kaki aku," jawab kerbau.

"Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?" tanya kancil. Kerbau segera mendekati batang pokok itu. Kerbau menundukkan kepala hendak mengangkat batang kayu itu.

"Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu itu," kata kancil. "Habis itu macam mana pula dengan buaya? Tentu buaya akan mati," jawab kerbau.

"Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai.

Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil.

"Jaga, kancil! Kau tipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau," pekik buaya.

Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu.

2. Ada satu cerita berkenaan sang kancil, sang kerbau dan sang buaya. Ceritanya lebih kurang mcm ni:
 Satu hari sang buaya berenang-renang di sekitar sungai mencari makanan. Kemudian entah macam mana sebatang pokok reput tumbang lalu menghempap badan sang buaya yang malang.
 "Tolong, tolong aku," kata sang buaya mendayu-dayu sambil menahan kesakitan namun tidak ada satu makhluk pun yang mendengar teriakannya.
 Dijadikan cerita maka dengan takdir Illahi seekor kerbau melalui kawasan sungai itu untuk meminum air. Alangkah gembiranya sang buaya apabila melihat kelibat sang kerbau lalu dia berkata,
"Wahai sang kerbau yang budiman, tolonglah aku untuk mengalihkan batang kayu yang menimpa badanku ini dengan menggunakan tandukmu yang kuat itu. Sudah seharian aku meminta tolong tapi tidak ada satu haiwan pun yang mendengar panggilanku. Tolonglah aku wahai sahabat."
Sang kerbau berfikir sejenak lalu berkata, "Aku boleh menolongmu wahai buaya tapi dengan satu syarat. Janganlah kau apa-apakan aku nanti setelah aku mengalihkan batang kayu itu dari badanmu."
 "Baiklah, aku berjanji" kata sang buaya. Lalu dengan segala kudrat dan kekuatannya sang kerbau pun mengangkat batang kayu tersebut dari badan sang buaya dan mencampakkannya ke tepi. Akan tetapi dengan tiba-tiba dan tanpa disangka-sangka sang buaya lalu mengigit kaki sang kerbau setelah dia boleh bergerak.
"Aduhhhhh!!!!!!!" jerit sang kerbau kesakitan.
"Kamu sudah berjanji padaku untuk tidak mengapa-apakan diriku namun kenapa kamu mengigit kaki disaat aku telah menolongmu wahai sang buaya," kata sang kerbau sambil meringis kesakitan.
 Lalu sang buaya berkata tanpa melepaskan kaki sang kerbau, "ketahuilah olehmu wahai sang kerbau, aku tertimpa oleh batang kayu buruk tersebut kerana pada masa itu aku sedang mencari makanan dan telah seharian aku tidak menjamah makanan. Aku berterima kasih padamu kerana menolongku namun aku tidak boleh melepaskan hidangan yang sudah sedia ada dihadapan mataku."

Mendengar kata-kata sang buaya yang tidak mengenang budi itu timbullah penyesalan dalam diri sang kerbau kerana mempercayai dan menolong sang buaya. Bak kata pepatah melayu "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Namun Tuhan itu Maha Kuasa, ditakdirkan seekor kancil melalui kawasan dimana sang kerbau dan sang buaya berada dan telah mendengar segala perbualan antara sang kerbau dan sang buaya. Sang kancil merasa simpati dengan sang kerbau kerana telah ditipu oleh sang buaya lalu sang kancil merancang helah untuk membebaskan sang kerbau.
 Lalu sang kancil pun pergi ke tempat dimana sang kencil dan sang buaya berada lalu sang kancil bertanya, "Apakah yang telah terjadi di sini wahai sang buaya, sang kerbau? lalu sang buaya dan sang kerbau pun menceritakan apa yang telah terjadi dari mula sampai akhir. Sang kerbau mempertahankan pendiriannya yang sang buaya tidak sepatutnya memungkiri janji. Sang buaya pulak mengatakan bahawa dia sebenarnya tidak bersalah kerana sudah lumrah alam bahawa sang kerbau adalah makanannya.
 "Baiklah, aku akan memutuskan siapa diantara kamu berdua yang berkata benar tapi sebelum itu aku ingin melihat situasi sebenar bagaimana sang buaya ditimpa pokok kayu sehinggalah sang kerbau datang menolong." Kata sang kancil dan kedua-dua haiwan itupun bersetuju.
 Wahai sang buaya, lepaskanlah dulu cengkaman mulutmu dari kaki sang kerbau dan sang kerbau, angkatlah kembali batang pokok kayu tersebut dan letakkan di atas badan sang buaya." arah sang kancil. Setelah cengkaman mulut sang buaya terlepas dari sang kerbau maka sang kerbau menjalankan tugasnya mengangkat batang kayu yang menghempap badan sang buaya dan meletakkan di atas sang buaya sehingga sang buaya tidak dapat bergerak.
 Setelah semuanya selesai, lalu berkatalah sang kancil kepada sang kerbau,
 "Hahh!! Apa lagi yang kamu tunggu,inilah masanya untuk kamu melepaskan diri dari sang buaya yang keji ini." Barulah sang kerbau menyedari yang itu semuanya adalah tipu muslihat sang kancil semata-mata. Setelah mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sang kancil telah menolongnya, maka tanpa berlengah-lengah lagi sang kerbau pun segera beredar dari kawasan itu.
 Berlainan pula dengan apa yang dialami oleh sang buaya. Tidak disangkanya sama sekali bahawa dirinya telah ditipu oleh sang kancil yang berbadan kecil itu. Lalu dia berkata, "Sungguh keji helahmu wahai sang kancil. Menipuku sehingga membuatkan aku melepaskan makananku, huhh!!!!!!!
 Lalu sang kancil membalas,"Itulah balasan buat mereka yang memungkiri janji. Madu yang diberi kamu balas dengan tuba. Perbuatan baik sang kerbau kamu balas dengan kejahatan, nafsu serakahmu membuatkan kamu memungkiri janji yang kamu telah buat. Inilah balasan yang terbaik buat makhluk yang tidak tahu bersyukur seperti kamu. 
 SEKIAN.....
3.
Hari ini telah mengingatkan saya kisah daripada sebuah buku cerita yang mengisahkan kerbau dan sang buaya. Si kerbau berjalan tenang dalam sebuah kampung menikmati keindahan kampungnya yang menghijau. Sawah padi terbentang luas, angin sepoi-sepoi bahasa, bunyi katak riang menyanyi di celah-celah batu kata orang memanggil hujan.
Setibanya kerbau di tepi kawasan tasik yang airnya cetek terdengarlah ia suara meminta tolong. Di lihatnya ke kanan kiri namun tiada dijumpai. Rupanya di sudut gigi air tasik datangnya suara itu. Seekor buaya kelihatan merayu meminta tolong kerana sebatang dahan pokok telah menimpanya. Kerbau pada mulanya tidak mahu menolong buaya itu kerana takut dikhuatiri keselamatannya.
Namun atas sikap tanggungjawab dan perihatin ia mendekati sang buaya yang kesakitan. Buaya berkali-kali meminta sang kerbau menolongnya. Kerbau tahu ia bahaya namun hati kerbau bersih, suci niat untuk menolong sang buaya. Apalagi berbekalkan tanduk yang panjang dituil dahan itu. Cubaan pertama gagal, dicubanya kali kedua, juga gagal. Dia tidak putus-putus asa, dia cuba untuk kali yang ketiga. Akhirnya berjaya juga sang kerbau yang berhati baik itu mengalihkan dahan yang berat tersebut.
Buaya tersenyum riang, tanpa tidak diduga buaya tiba-tiba menghentap kaki si kerbau. Di gigitnya sampai berdarah, kerbau kebingungan, cemas pun ada. Ia cuba untuk melepaskan diri namun gagal, betul kata orang tua-tua apabila digigit buaya susah untuk dilepaskan.
Kerbau merayu kepada si buaya untuk melepaskannya. Buaya dengan megahnya berkata tidak mungkin, mustahil, Imposible kata orang putih. Kerbau menyesal tindakannya itu, namun sudah terlewat.
Begitulah kisah si kerbau dan sang buaya. Banyak yang boleh diambil pengajaran.

No comments:

Post a Comment